Sunday, August 2, 2009

Morshidi Setiausaha Kerajaan Negeri ketujuh mulai hari ini


KUCHING: Datuk Morshidi Abdul Ghani (gambar) menjadi Setiausaha Kerajaan Negeri ketujuh berkuat kuasa hari ini seperti yang disahkan Ketua Menteri Pehin Sri Abdul Taib Mahmud semalam.

Pelantikan Morshidi yang sebelum ini menjadi Timbalan Setiausaha Kerajaan Negeri adalah bagi menggantikan Datuk Amar Wilson Baya Dandot.

“Ya, beliau (Morshidi) akan dilantik secara rasminya esok (hari ini),” katanya bercakap kepada pemberita selepas merasmikan Regata Sarawak di sini, semalam.

Sementara itu Taib berkata Wilson akan dilantik menjadi Ketua Pegawai Eksekutif Lembaga Pembangunan Koridor Wilayah (RECODA).

Morshidi ketika ditemui dalam majlis yang sama berkata, pelantikan ini umpama hadiah bagi hari jadi beliau pada Ogos ini.

Beliau enggan mengulas lanjut.

Morshidi, dilahirkan pada 12 Ogos 1956 di Kuching memulakan kariernya sebagai Pengurus Eksekutif Petronas pada awal 1980-an sebelum dilantik menjadi Pengarah Dewan Bandaraya Kuching Utara (DBKU).

Selepas itu beliau dipindahkan ke Jabatan Ketua Menteri dan menyandang jawatan Pengarah Sumber Manusia, Pembangunan dan Kualiti Sumber Manusia dan kemudian Setiausaha Tetap Kementerian Pembangunan Sosial dan Urbanisasi.

Kemudian beliau dilantik menjadi Timbalan Setiausaha Kerajaan Negeri yang bertanggungjawab ke atas Unit Pentadbiran, Keselamatan dan Hal Ehwal Korporat.

Sumber:http://www.theborneopost.com/

No comments: