Thursday, June 19, 2008

Tiada Sifat Malu Punca Manusia Hilang Kemuliaan

Oleh Mohd Shukri Hanapi

KEJADIAN seperti curi, rompak, pecah amanah, rasuah, judi, penipuan, rogol, dera dan bunuh boleh dikatakan hampir berlaku di mana-mana saja. Malah perkara seumpama ini semakin kerap kita dengar dan baca melalui media massa.
Sebenarnya banyak perkara yang menjadi sebab berlaku kejadian seperti ini. Antaranya kerana hilang sifat malu dalam jiwa diri seseorang. Ketiadaan sifat malu pada diri seseorang, masyarakat dan pada sesuatu umat atau bangsa, akan memudahkan berlakunya segala macam kemungkaran. Lantaran itu kehidupan manusia menjadi huru-hara, tiada lagi keamanan dan kesejahteraan.
Ini menunjukkan betapa sifat malu mempunyai pengaruh dan kesan besar terhadap pembentukan akhlak dan tingkah laku seseorang serta pergaulan hidup sosial mereka.
Manusia adalah makhluk paling mulia dan sempurna yang dijadikan Allah. Ini kerana Allah menganugerahkan manusia akal fikiran yang sempurna. Dengan akal fikiran inilah manusia dapat mencapai kemajuan dunia yang begitu menakjubkan.
Persoalan di sini, apakah yang menyebabkan manusia itu hilang martabat kemuliaannya? Antaranya ialah kerana tidak mempunyai sifat malu iaitu tidak malu sesama manusia dan lebih-lebih lagi tidak malu terhadap Allah.
Oleh sebab tidak mempunyai perasaan malulah, seseorang itu sanggup membelakangkan dan melanggar hukum Allah. Mereka tidak lagi mengendahkan norma susila dan kesopanan hidup serta tidak mengenal lagi perikemanusiaan. Tingkah laku berubah menjadi kasar dan angkuh hingga tidak dapat membezakan antara kebenaran dan kebatilan.
Jelas di sini bahawa sifat malu umpama perisai yang boleh mencegah seseorang daripada melakukan perkara mungkar dan maksiat. Malah, sifat malu juga menjadi kayu ukur terhadap tahap keimanan seseorang dalam menentukan tinggi rendah akhlaknya. Ini kerana sifat malu dan iman adalah komponen yang tidak boleh dipisahkan.
Perkara ini dijelaskan oleh Rasulullah dalam hadisnya yang bermaksud: "Iman mempunyai lebih daripada 70 cabang dan sifat malu adalah salah satu cabang daripada iman." - (Hadis riwayat Muslim).
Sesungguhnya orang yang mempunyai sifat malu itu akan sentiasa dapat menahan diri daripada melakukan perbuatan mungkar yang boleh mendatangkan keaiban pada dirinya atau orang lain dan menyebabkan nama atau kedudukannya tercemar.
Oleh demikian, secara tidak langsung sifat malu dapat membentuk akhlak seseorang itu, sentiasa menjaga adab, tutur kata, perangai dan kelakuan yang sopan serta mendidiknya supaya suka melakukan perkara yang baik lagi berfaedah.
Misalnya, jika kita malu dikatakan sebagai orang yang tidak beramanah, maka pasti kita akan berusaha dengan bersungguh-sungguh supaya dapat menunaikan janji dan menunaikan tanggungjawab yang diamanahkan dengan baik dan sempurna. Jika kita malu dikatakan sebagai penjenayah, maka pasti kita akan menjauhkan diri daripada terjerumus dalam perbuatan seperti mencuri, merompak, merogol, mendera, membunuh dan rasuah.
Begitu pula jika kita malu untuk dikatakan sebagai seorang yang tidak beradab, sudah pasti kita akan menjaga akhlak dan tingkah laku serta penampilan diri sama ada dari sudut pakaian atau tingkah laku.
Hakikatnya, apabila seseorang manusia hilang atau tiada lagi sifat malu dalam dirinya, maka ketika itu tiada lagi perasaan segan silu untuk melakukan kemungkaran dan kemaksiatan. Malah, sentiasa tunduk mengikut tuntutan hawa nafsu. Ini kerana hati dan jiwanya telah buta dan rosak. Dalam dirinya tiada lagi perasaan belas kasihan dan kasih sayang.
Sifat malu adalah salah satu sifat yang mahmudah (terpuji). Selama mana ia menjadi pakaian kita, ia boleh menghindarkan diri daripada melakukan kejahatan dan mendorong jiwa kepada perbuatan kebaikan.
Perlu diingat bahawa sifat malu boleh saja bertukar menjadi sifat yang mazmumah (tercela). Ini apabila kita berasa malu bukan pada tempat sepatutnya, seperti malu untuk melakukan sesuatu perkara yang benar, malu menutup aurat dan sebaliknya tidak malu untuk mendedahkan aurat.
Begitu juga jika kita malu untuk bertanya dalam sesuatu perkara yang tidak kita ketahui, tetapi rela berterusan berada dalam kejahilan. Sifat malu seumpama inilah dicela dan ditegah oleh Islam.
Oleh itu, tanamkan dalam hati kita sifat malu yang hakiki sebagaimana yang dituntut oleh ajaran Islam. Ini kerana sifat malu adalah sebahagian daripada iman dan benteng agar kita tidak terjebak dalam kancah kemaksiatan dan kemungkaran.
Allah berfirman bermaksud: "Wahai orang beriman, sekiranya kamu membela agama Allah, nescaya Allah membela kamu untuk mencapai kemenangan dan meneguhkan pendirian kamu." - (Surah Muhammad ayat 7).

No comments: