Monday, June 4, 2012

Fenomena Transit Planet Zuhrah 6 Jun 2012M Bersamaan 16 Rejab 1433H (Rabu)


Fenomena transit planet Zuhrah akan berlaku pada 6 Jun 2012M bersamaan 16 Rejab 1433H (Rabu). Planet Zuhrah akan berada dalam kedudukan tepat di antara matahari dan bumi. Fenomena ini jarang berlaku. Planet Zuhrah akan muncul merentasi matahari buat kali terakhir pada abad ini pada 6 Jun nanti. Transit seterusnya hanya akan berlaku 105 tahun akan datang. Orang ramai boleh melihat satu titik hitam kecil bergerak melintasi permukaan matahari. Fenomena itu boleh dilihat bermula dari terbit matahari hingga tengah hari, dankeseluruhan proses transit ini hanya boleh dilihat dengan jelas di pantai timur Sabah terutama di Sandakan.
Sentuhan pertama apabila planet Zuhrah menyentuh cakera matahari berlaku pada pukul 6.10 pagi, sentuhan kedua pada pukul 6.27 pagi apabila Zuhrah masuk sepenuhnya ke dalam cakera matahari, sentuhan ketiga pada pukul 12.31 tengah hari apabila planet itu mencecah pinggir cakera matahari sebelum keluar dan sentuhan ke empat pada pukul 12.49 tengah hari apabila Zuhrah meninggal sepenuhnya cakera matahari.

Tuesday, January 3, 2012

SELAMAT TAHUN BARU 2012 MASEHI


SELAMAT MENYAMBUT TAHUN BARU MASEHI 2012. MOGA SETIAP APA YANG DIHAJATI AKAN DIUSAHAKAN, DIIKHTIARKAN DAN SAMA2 KITA BERDOA MUDAHAN2 ALLAH SWT SENTIASA MENGURNIAKAN KITA REZEKI YANG HALAL, HIDUP DALAM SIHAT WAL-FIAT DAN SENTIASA TAAT DAN PATUT PADA SETIAP PERINTAH ALLAH SWT.
TERHINDAR DAN TERPELIHARA DARI KEJAHATAN INSAN, FITNAH MANUSIA DAN AZAB KUBUR. DIJAUHKAN DARIPADA SEGALA MUSIBAH DAN WABAK PENYAKIT, PENINDASAN, KEMUNGKARAN DAN KEMAKSIATAN.... AMIN YA RABBAL ALAMIN...

Thursday, December 22, 2011

Hukum Orang Islam Mengucapkan Tahniah Dan Ucapan Selamat Bersempena Perayaan Agama Bukan Islam

Keputusan:

Muzakarah Jawatankuasa Fatwa Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Ugama Islam Malaysia Kali Ke-78 yang bersidang pada 12 Jun 2007 telah membincangkan Hukum Orang Islam Mengucapkan Tahniah Dan Ucapan Selamat Bersempena Perayaan Agama Bukan Islam. Muzakarah telah memutuskan bahawa:

  1. Apa jua amalan atau perlakuan orang Islam dalam hal-hal yang berkaitan dengan perayaan orang bukan Islam sekiranya melibatkan akidah atau iktikad seperti mengiktiraf agama bukan Islam atau menganggap semua agama adalah sama, maka ia ditegah oleh Islam.
  2. Walaubagaimanapun sekiranya amalan atau perlakuan tersebut hanya atas dasar kemasyarakatan atau hubungan sosial antara Islam dan bukan Islam untuk tujuan perpaduan, maka ia dibenarkan oleh Islam.
  3. Memberi ucapan tahniah dan selamat atau mengirimkan ucapan melalui kad atau alat-alat telekomunikasi seperti e-mail atau sistem pesanan ringkas (sms) dan sebagainya kepada orang bukan Islam sempena dengan perayaan agama mereka adalah harus, dengan syarat ucapan itu tidak mengiktiraf, memuji atau memuliakan agama bukan Islam serta tidak menggunakan sebarang simbol atau lambang keagamaan mereka dalam kiriman ucapan tersebut.
Sumber: Majlis Fatwa Kebangsaan, JAKIM

Travelog Hajj 1432H/2011M





Monday, June 20, 2011

Amalan Soleh Sebagai Benteng

Oleh Ustaz Mohammad Fauzi bin Hairani

Muslimin & muslimat, para pembaca yang dikasihi,

Setiap hari media cetak dan elektronik melaporkan kes-kes seperti kematian yang mengerikan, kecurian, ragut, buli, perzinaan, keganasan rumahtangga, penyelewengan kuasa dan pelbagai lagi kejadian yang membimbangkan semakin meningkat.

Peningkatan ini amat menggerunkan dan menakutkan, walaupun kita berada dalam negara yang aman makmur dengan berbagai peraturan dan undang-undang yang diwujudkan, sistem kawalan keselamatan yang canggih dan sistem perhubungan yang terbaik. Namun hati kecil kita ini sentiasa bimbang, curiga dan takut, lebih-lebih lagi paparan kejadian jenayah dan kes yang berlaku sungguh dahsyat, semuanya menambah gerun di dalam jiwa kita semua.

Dalam hal ini sewajarnya kita memerlukan perlindungan dan keselamatan. Siapa sebenarnya pelindung kita?. Siapakah yang mententeramkan hati kita berterusan?. Siapakah gerangan yang dapat menghilangkan perasaan takut dan bimbang yang kita rasai sekarang ini?.

Hanya Allah yang Maha berkuasa dan Maha Pelindung. Allah yang berkuasa menyegerakan atau menangguhkan kematian. Allah yang berkuasa memulia dan mengaibkan seseorang. Hanya Allah yang berkuasa menjayakan dan menggagalkan sesuatu perancangan. Hanya Allah yang boleh menukarkan keadaan menjadi baik dengan janjinya melalui firman-Nya dalam surah An-Nur ayat 55 yang bermaksud: "Dan Dia (Allah) akan menukar keadaan mereka daripada ketakutan menjadi aman dan sentosa".

Para pembaca sekalian,

Bagi mendapatkan perlindungan Allah, maka sudah tentu memerlukan amal soleh yang mesti dilakukan. Apakah yang dimaksudkan dengan amal soleh itu?. Amalan soleh itu antaranya ialah mengerjakan yang fardhu dan diiringi dengan yang sunat seperti solat fardhu yang disusuli dengan solat sunat.

Termasuk amal soleh juga ialah perbuatan menunaikan solat pada waktunya, suka berbuat baik, hatinya penuh yakin dengan keEsaan Allah dan pemikirannya bersih sentiasa mengingati Allah S.W.T. Amal soleh juga diertikan sebagai perbuatan ma'ruf atau perbuatan kebajikan. Hakikat ini dinyatakan berdasarkan sebuah hadith yang masyhur dari Abdullah bin Mas'ud bahawa Rasulullah S.A.W bersabda:"Amal soleh yang utama adalah solat pada waktunya, melakukan kebaikan kepada kedua ibubapa dan berjihad di jalan Allah". (Riwayat Ahmad, Bukhari, Muslim, Abu Daud dan Nasa'ie)

Sabdanya lagi yang bermaksud: "Amalan yang disukai oleh Allah S.W.T ialah amalan yang tetap (kekal dan bersungguh-sungguh melakukannya), sekalipun amalan itu sedikit". (Riwayat Bukhari dan Muslim)

Untuk memastikan amal soleh ini diterima di sisi Allah S.W.T, maka ia memerlukan sikap berterusan dalam menunaikan amalan ini biarpun sedikit yang dikerjakannya. Di samping keutamaannya mestilah ada keikhlasan dalam melaksanakannya, kerana tanpa niat untuk mencari keredhaan Allah atau bukan semata-mata kerana Allah, maka sia-sialah amalan ini, malah ditolak amalan tersebut. Hadith daripada Ad-Dhuha bin Qais bahawa Rasulullah S.A.W bersabda yang bermaksud: "Ikhlaskanlah amalan-amalan kamu kerana Allah, sesungguhnya Allah S.W.T tidak akan menerima amalan melainkan yang ikhlas sahaja". (Riwayat Ad-Daraqthani)

Muslimin & muslimat sekalian,

Adakah terdapat kaitan dan pertalian antara amalan soleh dengan perlindungan untuk kita?. Bagaimanakah yang dimaksudkan dengan perlindungan?. Apakah bentuk-bentuk perlindungan yang diberikan oleh Allah disebabkan amalan soleh yang kita kerjakan?.

Memang terdapat kaitan dan pertalian yang rapat antara amalan soleh kita dengan perlindungan Allah S.W.T. Adanya perlindungan adalah disebabkan amalan soleh kita. Jika amalan yang kita lakukan itu baik, maka kita akan diberikan keyakinan oleh Allah. Keyakinan itu berhubung dengan perlindungan, ketenangan jiwa dan kemurahan rezeki yang diberikan oleh Allah kepada kita. Ini ditegaskan oleh Allah S.W.T melalui firman-Nya dalam surah An-Nahl ayat 97 yang bermaksud: "Sesiapa yang beramal soleh, daripada lelaki atau wanita, sedangkn dia beriman, maka sesungguhnya Kami akan menghidupkannya dengan kehidupan yang baik dan sesungguhnya Kami akan membalas mereka, dengan memberikan pahala yang lebih baik daripada apa yang mereka telah kerjakan".

Hadith daripada Abu Hurairah bahawa Rasulullah S.A.W bersabda yang bermaksud "Mereka yang membaca kitab Allah (Al-Quran) dan mengulangkajinya antara sesama mereka, akan menikmati ketenteraman, diliputi rahmat dan di kelilingi malaikat". (Riwayat Muslim)

Sesungguhnya amalan kebajikan yang kita lakukan pastinya akan diberi perlindungan dan memperolehi manfaat yang bernilai serta tidak disangka-sangka. Perbuatan ma'aruf seperti bersedekah dan menghubung silaturrahim ini akan menjauhkan bencana kejahatan, malapetaka dan kemusnahan dalam hidup. Hadith daripada Ibnu Hakim bahawa Rasulullah S.A.W bersabda yang bermaksud "Perbuatan ma'aruf menangkis dan menghindarkan bencana kejahatan, sesungguhnya sedekah secara rahsia itu akan menghapuskan kemurkaan Allah, menghubungkan silaturrahim, menambah umur dan menolak kemiskinan". (Riwayat At-Tabrani)

Sebaliknya orang yang sentiasa melakukan maksiat dan kejahatan, kehidupan mereka di dunia dalam keadaan resah gelisah, jiwa yang tidak tenteram, walaupun mempunyai berbagai kemudahan dan kemewahan, sebagaimana mutiara kata:"Bahawa maksiat yang lebih berbahaya adalah melupakan Allah dan menggantungkan harapan kepada selain Allah. Akibatnya, tiada perlindungan dan tiada penolong untuk melepaskan kita daripada masalah hidup di dunia dan di akhirat".

Firman Allah dalam surah An-Nisa' ayat 123 yang bermaksud: "Sesiapa yang melakukan kejahatan, dia akan dibalas disebabkan kejahatan itu, dan dia pula tidak akan mendapat seorang pelindung pun selain daripada Allah dan tidak ada juga yang dapat menolongnya".

Para Pendengar yang dikasihi,

Para ulama' besar termasuk Imam Nawawi telah membuat rumusan mengenai perlindungan ini berdasarkan kepada ayat-ayat Al-Quran dan hadith-hadith Nabi S.A.W. Mereka menyatakan bahawa perlindungan yang diberikan oleh Allah S.W.T kepada kita dengan dipanjangkan umur, dijauhkan dari kemiskinan dan kemurkaan Allah, kehidupannya baik dan sentiasa tenang, mewarisi kekuasaan dan pemerintahan, diteguhkan agamanya, sayang-menyayangi antara satu sama lain, di kelilingi para malaikat, dicucuri rahmat dan dijauhkan bencana kejahatan.

Muslimin & muslimat sekalian,

Dari apa yang diperkatakan tadi, jelas menunjukkan betapa pentingnya amal soleh yang ikhlas, iltizam (bersungguh-sungguh) dan istiqamah (berterusan) kepada kita semua. Semoga Allah mengurniakan taufik dan hidayah-Nya kepada kita untuk terus berazam melakukan amal soleh. Amalan soleh menjanjikan perlindungan yang berterusan, menyeluruh dan berkekalan, juga sebagai tanda mendekatkan diri kita kepada-Nya. Semoga dengan itu doa kita akan diterima dan kita sentiasa berada di bawah lindungan Allah S.W.T.

Sebuah hadith qudsi daripada Abu Hurairah R.A bahawa Rasulullah S.A.W bersabda "Sesungguhnya Allah S.W.T telah berfirman: "Dan andai kata ia memohon kepada-Ku, pasti akan Aku perkenankan, andai kata ia memohon perlindungan-Ku, pasti Aku akan melindunginya". (Riwayat Bukhari)

Firman Allah S.W.T dalam surah Yusuf ayat 64 yang bermaksud:"Maka Allah jualah sebaik-baik penjaga dan Dialah jua yang Maha Penyayang dari sesiapa sahaja yang menaruh belas kasihan".

Bahaya Fitnah

Oleh Mohammad Fauzi bin Hairani

Muslimin & muslimat sekalian,

Pada hari yang mulia ini merasa amat terpanggil untuk menjelaskan maksud dan kesan fitnah yang wajib difahami, jika kita benar-benar inginkan kesejahteraan dan keredhaan Allah SWT di dunia, apatah lagi di akhirat kelak. Perhatian ini wujud kerana ada kecenderungan sebahagian umat Islam membuat kenyataan berbentuk fitnah yang sangat jelas bercanggah dengan syariat Islam. Ianya dilakukan sama ada oleh individu, kumpulan, persatuan dan pihak-pihak lain.

Fitnah ialah mengadakan suatu berita palsu atau bohong terhadap seseorang yang mempunyai perasaan permusuhan dengan motif-motif yang buruk. Fitnah boleh memecah belahkan masyarakat, meruntuh perpaduan ummah, merendahkan akhlak dan menjatuhkan maruah Islam.

Fitnah pula boleh menimbulkan Qazaf. Qazaf bererti membuat sesuatu pertuduhan terhadap seorang melakukan zina atau liwat tanpa mengemukakan empat orang saksi muslim yang adil. Oleh itu orang yang menuduh telah melakukan jenayah Qazaf dan fitnah. Pembuktian dengan cara bersumpah, termasuk sumpah laknat (mubahalah) atau menggunakan bahan-bahan lain sebagai bukti adalah tidak relevan sama sekali kerana tidak menepati kehendak syariat.

Termasuk dalam kategori ini, mereka yang mendedahkan maklumat secara terbuka, dalam pelbagai bentuk dengan maksud menuduh melakukan zina juga telah melakukan jenayah Qazaf. Malah mereka yang mempercayai fitnah tersebut dan menyebarkannya sudah pasti mendapat dosa dan boleh dikenakan hukuman kerana gagal membuktikannya mengikut ketetapan syarak. Dalam hubungan ini marilah kita menghayati dan meyakini pesanan Rasulullah S.A.W yang bermaksud;"Sesiapa yang menggembar-gemburkan pada orang ramai sesuatu perkara terhadap seseorang muslim untuk menjatuhkan maruah orang tersebut di dunia pada hal ia tidak demikian, maka wajiblah Allah mencairkan pembawa fitnah tersebut pada hari qiamat dalam api neraka sehinggalah ia dapat membuktikan kebenaran apa yang telah dikatakannya". (Riwayat At-Thabrani)

Fitnah boleh menjatuhkan maruah si tertuduh apabila disiar oleh media massa, media cetak mahupun media elektronik termasuk telefon bimbit. Lebih memburukkan keadaan, apabila si pemfitnah enggan menerima kebenaran dan tidak mahu mengakui kesilapan atau mempunyai perasaan dendam serta hasad dengki yang terhadap orang yang dituduh. Orang yang memfitnah sama ada sedar atau tidak telah melaksanakan sumpahan iblis dan syaitan yang memang ingin merosakkan iman dan aqidah umat Islam sehingga hari kiamat.

Adakalanya fitnah itu diulas, diperbesar dengan memetik kenyataan oleh pihak-pihak tertentu ke arah menggambarkan bahawa si tertuduh memang bersalah. Inilah budaya buruk sangka dan hasad dengki oleh mereka yang tidak berakhlak dengan akhlak Islam. Setiap individu yang bersama melakukan perbuatan terkutuk ini, atau mempercayai atau sama-sama menyebarkan akan menerima pembalasan dari Allah S.W.T. Firman Allah S.W.T dalam surah Al-Anfal ayat 25 yang bermaksud: "Dan jagalah diri kamu daripada berlakunya dosa yang membawa bala bencana yang bukan sahaja akan menimpa orang-orang yang zalim di antara kamu secara khusus, tetapi akan menimpa kamu secara umum; Dan ketahuilah bahawa Allah Maha berat azab seksaan-Nya".

Para pembaca sekalian,

Sesungguhnya mereka yang melakukan jenayah qazaf telah melakukan perbuatan yang haram dan termasuk tujuh jenis dosa besar. Oleh itu, mereka boleh dikenakan hukuman mengikut syariat Islam iaitu;

Pertama : Dari segi fizikalnya, boleh dikenakan lapan puluh sebatan.

Kedua : Dari segi moral dan sosialnya, akan hilang kelayakan menjadi saksi selama-lamanya dalam semua perkara termasuk saksi perkahwinan.

Ketiga : Dari segi keagamaannya akan tergolong sebagai orang yang fasiq.

Firman Allah S.W.T dalam surah An-Nur ayat 4 yang bermaksud: "Dan orang-orang yang melemparkan tuduhan (zina) kepada perempuan yang terpelihara kehormatannya, kemudian mereka tidak membawakan empat orang saksi, maka sebatlah mereka lapan puluh sebatan; dan janganlah kamu menerima persaksian mereka itu selama-lamanya; kerana mereka adalah orang yang fasiq".

Disamping itu, tukang fitnah atau mereka yang sengaja mengintai-intai aib orang, hendaklah mengambil pengajaran sebagaimana sabda Rasulullah S.A.W yang bermaksud;

"Wahai orang-orang yang beriman dengan lisan, akan tetapi belum menyerap ke dalam hati, janganlah kalian menyakiti orang lain. Jangan mengintai-intai aurat (cacat cela mereka), sesungguhnya barangsiapa yang cacat celanya diintai oleh Allah, nescaya Allah akan bukakan pekungnya walaupun dalam kenderannya sendiri, dalam riwayat lain disebutkan dalam rumahnya sendiri". (Riwayat Abu Daud)

Fahamilah dengan sebenarnya maksud ayat yang dibacakan pada muqaddimah khutbah tadi daripada surah An-Nur ayat 12 yang bermaksud: "Mengapa semasa kamu mendengar tuduhan itu, orang yang beriman lelaki dan perempuan, tidak bersangka baik sesama sendiri dan berkata; "Ini ialah tuduhan dusta yang nyata".

Bagi tujuan mendidik dan mengawal umat Islam daripada melakukan jenayah qazaf, yang mempunyai kaitan langsung dengan nilai, maruah dan keharmonian masyarakat, maka hendaklah diperjelas peraturan, larangan dan kesan jenayah qazaf, serta hukuman yang boleh dikenakan menurut peraturan syarak. Martabatkanlah undang-undang Islam yang memberikan pengiktirafan dan hak kepada Mahkamah Syariah mengendalikan kes-kes jenayah syariah yang melibatkan orang Islam. Dengan ini kita boleh melaksanakan sistem perundangan yang adil, diredhai dan patuh kepada hukum syarak.

Marilah kita sama-sama bermuhasabah dengan membersihkan diri kita dari sifat-sifat keji yang dilarang oleh Allah S.W.T. Tingkatkanlah kefahaman kita mengenai Islam dengan menghadirkan diri dalam majlis-majlis ilmu yang dianjurkan oleh masjid dan surau.

Oleh itu, semua pihak, sama ada kerajaan, institusi perundangan dan masyarakat hendaklah bersungguh-sungguh dan ikhlas untuk melaksanakan syariat Islam sepenuhnya kerana ruang dan peluang telah tersedia. Insya Allah kita akan mendapat pemeliharaan serta pertolongan daripada Allah S.W.T. Firman Allah SWT di dalam surah An-Nuur ayat 13 yang maksudnya: "Mengapa mereka tidak membawa empat orang saksi membuktikan tuduhan itu; Oleh kerana mereka tidak mendatangkan empat orang saksi, maka mereka itu pada sisi Allah, adalah orang yang berdusta".

Kembalilah Kepada Kitabullah (al-Quran)

Oleh Mohammad Fauzi bin Hairani

Bersyukurlah kita kehadrat Allah SWT kerana dengan limpah dan rahmatNya kita dapat bertemu sekali lagi dalam ruangan Mimbar Agama pada hari yang berbahagia ini. Mudah-mudahan segala usaha dan perancangan kita diberkati dan dirahmati Allah SWT.

Muslimin & muslimat sekalian,

Mengenang peristiwa demi peristiwa yang berlaku dewasa ini, gejala demi gejala, musibah yang melanda dan jenayah yang berleluasa mengharapkan satu penyelesaian untuk kebahagiaan sebuah kehidupan, keharmonian, ketenteraman dan keselamatan. Penurunan Al-Quran kepada kita, adalah sebenarnya sebagai satu jawapan kepada kemelut yang ada. Apabila ternyata gagalnya sistem atau peraturan manusia, sepatutnya sikap dan keyakinan kita hanya kepada Al-Quran. Persoalannya bilakah lagi kita akan berjaya menjadikan undang-undang agung ini sebagai peraturan dalam kehidupan kita. Hanya berpandukan Al-Quran sahajalah yang mampu untuk menjadi petunjuk, rahmat dan membawa berita gembira serta panduan untuk membimbing manusia memperolehi jalan kemenangan dan kebahagiaan. Firman Allah SWT dalam surah An-Nahl ayat 89 yang maksudnya: "Kami turunkan kepadamu (Ya Muhammad) kitab Al-Quran ini bagi menjelaskan tiap-tiap suatu perkara dan menjadi hidayah petunjuk, serta membawa rahmat dan membawa berita gembira bagi orang-orang Islam".

Al-Quran mampu menyelesaikan semua perkara yang berlaku kepada dunia dan ia mampu menunjukkan jalan kebenaran sekaligus memberikan rahmat kepada kehidupan manusia. Persoalannya adakah umat Islam hari ini bersedia untuk kembali kepada hukum Islam sebagai penyelesai masalah yang berlaku?. Hari ini kita melihat dunia menangis akibat kerosakan yang dilakukan oleh tangan-tangan manusia. Sebahagian manusia semakin jauh terpesong daripada Al-Quran yang menjadi petunjuk kepada mereka. Inilah punca akidah semakin menyimpang, akhlak semakin goyang, syariat pula semakin hilang.

Keadaan semakin dahsyat dan mencabar. Justeru, amatlah wajar bagi umat Islam segera kembali kepada Al-Quran sebagai penyelamat dan satu-satunya jalan penyelesaian. Kenapa manusia masih teraba-raba mencari formula lain untuk dijadikan penyelesai masalah yang berlaku sedangkan Al-Quran telah menunjuki jalan kepada kita bagaimana tuntasnya kemelut yang berlaku itu dengan kembali melaksanakan segala isi kandungannya, menegakkan hukum-hakamnya dan menjadikannya sebagai peraturan dan undang-undang bagi orang yang bertaqwa?. Firman Allah SWT dalam Surah Toha ayat 123 yang maksudnya: "Kemudian jika datang kepada kamu petunjuk dari-Ku, maka sesiapa yang mengikut petunjuk-Ku itu nescaya ia tidak akan sesat dan ia pula tidak akan menderita azab sengsara".

Kita hairan berhadapan dengan sesetengah sikap yang ditonjolkan oleh sebahagian umat Islam yang seolah-olah tidak yakin kepada kemampuan Al-Quran untuk membendung dan menangani kes seperti masalah pembuangan bayi, sumbang mahram, zina dan sebagainya. Sedangkan kehidupan yang dipandu dengan Al-Quran telah menunjukkan jalan penyelesaian kepada kita. Sebagai contoh:-

1. Digalakkan berkahwin ke atas orang-orang bujang agar kehormatan diri mereka dapat dipelihara. Firman Allah SWT dalam surah An-Nur ayat 32 yang bermaksud: "Dan kahwinkanlah orang-orang bujang (lelaki dan perempuan) dari kalangan kamu, dan orang-orang yang soleh dari hamba-hamba kamu, lelaki dan perempuan. Jika mereka miskin, Allah akan memberikan kekayaan kepada mereka dari limpah kurnia-Nya kerana Allah Maha Luas (rahmat-Nya dan limpah kurnia-Nya), lagi Maha mengetahui".

2. Kewajipan menutup aurat hendaklah difahami sebagaimana Firman Allah SWT dalam surah Al-Ahzab ayat 59 yang bermaksud: "Wahai Nabi, suruhlah isteri-isterimu dan anak-anak perempuanmu serta perempuan-perempuan yang beriman, supaya melabuhkan pakaiannya bagi menutup seluruh tubuhnya (semasa mereka keluar); cara yang demikian lebih sesuai untuk mereka dikenal (sebagai perempuan yang baik-baik) maka dengan itu mereka tidak diganggu. Dan (ingatlah) Allah Maha Pengampun, lagi Maha Mengasihani".

3. Menjaga pergaulan bebas.

Hadith riwayat Tirmizi bahawa Rasulullah s.a.w. bersabda yang bermaksud: "Tidaklah seorang lelaki berduaan dengan perempuan kecuali yang ketiganya adalah syaitan".

Hakikatnya tidak ada jalan lain yang mampu membendung dan menyelesaikan masalah ini kecuali kita kembali berhukum dengan ajaran Al-Quran. Percayalah selama mana kita tidak segera kembali meletakkan Al-Quran di persada kemuliaan sebagai rujukan undang-undang dan hukum, masalah yang dihadapi tidak akan menemui jalan penyelesaian.

Firman Allah SWT dalam surah Al-Israk ayat 9 yang maksudnya: "Sesungguhnya Al-Quran ini memberi petunjuk ke jalan yang amat benar (agama Islam), dan memberikan berita yang menggembirakan bagi orang-orang yang beriman, yang mengerjakan amal-amal soleh, bahawa mereka beroleh pahala yang besar".

Muslimin dan muslimat, para pembaca sekalian,

Beberapa langkah segera perlu diambil untuk mengembalikan kesedaran umat Islam agar nilai Al-Quran bukan hanya dibaca atau disimpan di kutub khanah semata-mata. Justeru, umat Islam secara drastik perlu untuk mengambil beberapa langkah bagi memastikan Al-Quran kembali di singgahsana keagungannya seperti:-

1. Pendedahan pelbagai teknik belajar membaca Al-Quran melalui klinik-klinik Al-Quran hendaklah diketengahkan sebagai alternatif atau usaha bagi umat Islam menguasai bacaan dan pembelajaran Al-Quran. Hadith riwayat Imam Bukhari bahawa Rasulullah s.a.w. bersabda yang bermaksud; "Sebaik-baik kamu ialah orang yang belajar Al-Quran dan kemudian mengajarkannya".

2. Penekanan terhadap tarbiyyah dan didikan anak-anak supaya lebih fokus untuk mengenali Al-Quran, memahami isi kandungannya, mengetahui hukum-hakam dan peraturannya serta memastikan penerusan pengajian agama diutamakan sehingga mampu melahirkan ‘alim ‘ulama dan seterusnya berperanan mengislahkan umat berdasarkan Al-Quran.

3. Usaha-usaha hendaklah diperjuangkan oleh umat Islam bagi mengembalikan undang-undang dan peraturan Allah supaya ianya dapat ditegakkan dan dilaksanakan seterusnya maslahah umat dapat dipelihara dan mampu membendung gejala pemesongan akidah dan sosial yang berlaku. Firman Allah SWT dalam Surah an-Nisa' ayat 105 yang bermaksud: "Sesungguhnya Kami menurunkan kepadamu (Wahai Muhammad) Kitab (Al-Quran) Dengan membawa kebenaran, supaya engkau menghukum di antara manusia menurut apa yang Allah telah tunjukkan kepadamu (melalui wahyu-Nya); dan janganlah engkau menjadi pembela bagi orang-orang yang khianat.

4. Bawalah kembali ummah menghayati syariah Islam kerana dengan mengikut syariatlah satu-satunya jalan keluar dari belenggu jahiliyyah dan kerosakan. Firman Allah dalam surah Al-Maidah ayat 48 yang bermaksud: "Maka jalankanlah hukum antara mereka dengan apa yang telah diturunkan oleh Allah(kepadamu), dan janganlah engkau mengikut kehendak hawa nafsu mereka (dengan menyeleweng) tentang apa yang telah datang kepadamu daripada kebenaran. Bagi tiap-tiap umat yang ada antara kamu, Kami jadikan (tetapkan) suatu syariat dan jalan agama (yang wajib diikuti masing-masing)".

5. Meneruskan kesedaran kepada umat Islam supaya membudayakan pembacaan Al-Quran untuk dibaca di masjid-masjid, di pejabat dan di rumah. Hanya orang-orang yang terbuka jiwanya dengan sinaran Al-Quran sahaja yang begitu memahami bahawa hanya hukum Allah SWT sahajalah penyelesai segala kemelut yang berlaku. Wasiat Rasulullah s.a.w. kepada Abu Zar sebagaimana yang diriwayatkan oleh Ibnu Hibban:

"Lazimkan olehmu membaca Al-Quran, kerana Al-Quran itu cahaya bagi kamu di bumi dan perbendaharaan bagi kamu di akhirat".

Muslimin & muslimat sekalian,

Saya menyeru diri saya, keluarga dan juga tuan-tuan hadirin sekalian, kembalilah mengagungkan Al-Quran dan tegakkanlah hukum-hakamnya untuk kesejahteraan hidup kita di dunia dan di akhirat. Firman Allah SWT di dalam surah al-Maidah ayat 49 yang maksudnya: "Dan hendaklah Engkau menjalankan hukum di antara mereka dengan apa yang telah diturunkan oleh Allah dan janganlah engkau menurut kehendak hawa nafsu mereka, dan berjaga-jagalah supaya mereka tidak memesongkanmu dari sesuatu hukum yang telah diturunkan oleh Allah kepadamu. kemudian jika mereka berpaling (enggan menerima hukum Allah itu), maka ketahuilah, Hanyasanya Allah mahu menyeksa mereka dengan sebab setengah dari dosa-dosa mereka; dan sesungguhnya kebanyakan dari umat manusia itu adalah orang-orang yang fasik".

Monday, May 16, 2011

SELAMAT HARI GURU KHAS UNTUK SEMUA WARGA PENDIDIK DI MALAYSIA KHUSUS UNTUK GURU-GURU YANG PERNAH MENGAJARKU DAHULU HINGGA SEKARANG...

Friday, May 13, 2011

FENOMENA ISTIWA UTAMA MATAHARI DI KAABAH


Arah kiblat yang tepat boleh juga diperolehi apabila berlaku peristiwa 'istiwa utama
matahari di Kaabah'. Istiwa utama (istiwa a'dzam) adalah satu keadaan di mana matahari
akan berada tepat di titik zenith (ghayah) ketika istiwa. Peristiwa ini akan berlaku dua
kali dalam setahun, apabila nilai sudut istiwa matahari (mel syams) bersamaan dengan
nilai latitud tempatan. Fenomena ini berlaku bagi negeri-negeri yang nilai latitudnya
kurang daripada nilai sudut istiwa maksimum matahari sebanyak 23.5°.

Berdasarkan keadaan ini, matahari akan mengalami istiwa utama dengan Kaabah dua kali dalamsetahun. Fenomena ini boleh dimanfaatkan untuk menyemak dan menentukan arah kiblat
dari tempat-tempat lain di muka bumi. Menurut hisab, peristiwa istiwa matahari di atas Kaabah akan berlaku setiap tahun pada 28 Mei pukul 5.16 petang waktu Malaysia dan sekali lagi pada 16 Julai pukul 5.28 petang.


Thursday, May 12, 2011

Perangai Jahiliyah Ummat Masa Kini

Tuan-tuan & Puan-puan, Para pembaca sekalian,

Jahiliyyah bermaksud "sesat atau jahil". Asalnya ia dimaksudkan kepada masyarakat jahiliyyah di semenanjung Tanah Arab yang hidup 1500 tahun dahulu sebelum kebangkitan Rasulullah S.A.W iaitu masyarakat yang mundur dari segi pembangunan, akhlak dan sosial ditambah pula dengan sikap keangkuhan, kesombongan dan kebodohan dari segi ilmu pengetahuan. Dengan ketiadaan Nabi dan kitab suci yang boleh dijadikan petunjuk, mereka menjadi sesat, jauh daripada jalan kebenaran dan tiada sistem hidup yang menjamin kebahagian. Inilah asal bentuk masyarakat jahiliyyah. Jelasnya setiap tindakan yang berupa pandangan, perbuatan, pemikiran dan sikap yang menentang Islam termasuk dalam kategori jahiliyyah.

Meskipun generasi jahiliyyah itu telah berakhir ditelan zaman, namun sikap dan perwatakan jahiliyyah bentuk baru masih wujud hingga ke hari ini. Ditengah-tengah kehidupan dunia yang pesat membangun, masih terdapat manusia yang berperilaku jahiliyyah di sudut sikap, emosi, minda dan tindakan.

Muslimin & muslimat sekalian,

Kaum jahiliyyah dahulu terkenal dengan budaya hidup yang menjijikkan dan tiada pedoman. Hanya akal dan nafsu dijadikan rujukan. Lalu lahirlah masyarakat yang bergelumang dengan segala bentuk kemunkaran dan penindasan. Anak-anak perempuan dubunuh, pelacuran dan perzinaan menjadi budaya, pergaduhan dan peperangan menjadi cara untuk mencapai matlamat hidup, yang berkuasa menindas, yang lemah diperhambakan dan ditindas, tiada keadilan dan pembelaan ditegakkan, tiada sistem hidup yang dapat membentuk keharmonian dan kedamaian, sihir dan khurafat menjadi amalan. Inilah antara identity masyarakat jahiliyyah dahulu akibat meninggalkan ajaran dan panduan hidup Nabi terdahulu. Hakikat ini dijelaskan oleh Allah dalam surah Yasin ayat 6:

uÉZçFÏ9 $YBöqs% !$¨B uÉRé& öNèdät!$t/#uä ôMßgsù tbqè=Ïÿ»xî ÇÏÈ

Yang bermaksud: "Supaya engkau memberi peringatan kepada kaum nenrk moyang mereka telah lama tidak diberikan peringatan, sebab itulah mereka lalai".

Dari ayat ini dapatlah difahami bahawa mereka wajar menjadi begitu rosak dan sesat kerana lama tidak didatangi peringatan dan pedoman utusan Allah kepada sesuatu kaum. Bagaimana pula dengan perlakuan dan sikap jahiliyyah hari ini? Mereka hidup selepas kedatangan Islam dan Rasulullah S.A.W, dibekalkan dengan syariat Islam dan sentiasa dipandu dengan pengajaran Al-Quran dan hadith Rasulullah S.A.W di setiap aspek kehidupan. Namun masih kekal dengan watak-watak dan sikap-sikap yang menjijikkan seperti kaum jahiliyyah zaman dahulu.

Muslimin & muslimat yang dikasihi,

Marilah kita merenung kembali ke dalam diri kita mengapakah sampai begini hancur masyarakat kita hari ini?. Layakkah kita mengaku sebagai kaum muslimin dan umat Muhammad dengan situasi dan gaya hidup yang sebegini?. Wajarkah kepincangan dan kecelaruan ini kita biarkan sehingga ia menjadi tradisi yang akan diwarisi oleh anak cucu kita nanti?. Sebagai seorang yang beriman, kita pasti tidak akan senang dan tenang dengan bayangan ngeri ini.

Kita perlu akur bahawa perlakuan jahiliyyah moden dengan pelbagai bentuk ini adalah hasil keengganan kita menerima Islam sebagai panduan kehidupan. Sebahagian masyarakat kita hari ini semakin jauh dari kefahaman agama apatahlagi untuk mengamalkannya. Ilmu syariat tidak dipelajari, iman tidak dipupuk ke dalam diri, hidup hanya memburu kepuasan nafsu dan keperluan duniawi. Sepanjang hari, hanya sibuk mengurus dunia yang sementara, sedangkan kematian dan kehidupan akhirat yang pasti itu kita baikan tanpa sebarang persiapan yang menjamin kebahagiaan. Inilah identity masyarakat kita hari ini. Jiwa yang sarat dengan cinta dunia dan kosong iman ini sebenarnya terlalu rapuh, lalu mudah tewas dengan hasutan syaitan yang sentiasa mengheret manusia ke lembah kebinasaan.

Justeru, marilah kita kembali menjadikan Al-Quran dan As-Sunnah sebagai panduan hidup. Iman dan Islam hendaklah dihayati dan diamalkan. Kita hendaklah mulakan langkah-langkah baru ke arah cara hidup Islam yang nyata membawa kebahagiaan. Antara langkah-langkah yang perlu diambil bagi membendung gejala perlakuan jahiliyyah dalam masyarakat kita adalah;

Pertama: Ibubapa dan guru hendaklah berperanan sebagai pencorak halatuju anak-anak. Didiklah anak-anak kita dengan ilmu agama sebagai asas yang membentuk jati diri mereka. Pastikan anak kita mampu mendirikan solat dan menjaga batasan syariat di samping memburu kecemerlangan akademik dan pelajaran. Asuhlah mereka dengan budi pekerti mulia. Ingatlah setiap anak yang membesar dengan akhlak yang buruk, kitalah yang akan dipertanggungjawabkan di atas kegagalan ini. Dalam sebuah hadith daripada Abu Hurairah R.A bahawa Rasulullah S.A.W bersabda:

"Setiap anak lahir dalam keadaan fitrah (suci dan bersih) maka kedua ibubapanyalah yang menjadikannya berperangai dengan perangai Yahudi, Nasrani atau Majusi".

Kedua: Kembali menjadi masyarakat yang peka dengan persekitaran dan saling ingat-mengingatkan. Umat Islam sewajarnya sedar hakikat ini. Kehilangan cirri-ciri ini menyebabkan kita bagaikan hidup bersendirian walaupun hidup di tengah-tengah manusia yang ramai. Tiada perpaduan dan hubungan ukhuwwah Islamiah menyebabkan kita hilang kekuatan. Lalu, bila mana melihat anak kecil disepak, dipijak di tengah padang pun kita hanya mampu melihat sehingga nyawa si kecil tidak berdosa ini terpisah dari badan. Bukankah ini sebenar-benar kerugian dan kehinaan?, sepertimana firman Allah dalam surah Al-Asr ayat 1-3:

ÎŽóÇyèø9$#ur ÇÊÈ ¨bÎ) z`»|¡SM}$# Å"s9 AŽô£äz ÇËÈ žwÎ) tûïÏ%©!$# (#qãZtB#uä (#qè=ÏJtãur ÏM»ysÎ=»¢Á9$# (#öq|¹#uqs?ur Èd,ysø9$$Î/ (#öq|¹#uqs?ur ÎŽö9¢Á9$$Î/ ÇÌÈ

Maksudnya: "Demi masa! Sesungguhnya manusia itu dalam kerugian. Kecuali orang yang beriman dan beramal soleh dan mereka pula berpesan-pesan dengan kebenaran serta berpesan-pesan dengan kesabaran".

Ketiga: Bertaubat dan memohon ampun kepada Allah S.W.T. dan berazam untuk mengamalkan syariat Islam. Ingatlah bahawa dengan taubat dan istighfar akan mengundang rahmat Allah dan mengembalikan kekuatan kita sebagai umat Islam yang hidup berpandukan Al-Quran dan sunnah Rasulullah S.A.W.

Firman Allah S.W.T. dalam surah Hud ayat 52:

ÏQöqs)»tƒur (#rãÏÿøótFó$# öNä3­/u ¢OèO (#þqç/qè? Ïmøs9Î) È@Åöãƒ uä!$yJ¡¡9$# Nà6øn=tæ #Y#uôÏiB öNà2÷ŠÌtƒur ¸o§qè% 4n<Î) öNä3Ï?§qè% Ÿwur (#öq©9uqtGs? šúüÏB̍øgèC ÇÎËÈ

Yang bermaksud: "Dan Hud berkata lagi, "Wahai kaumku! Mintalah ampun kepada Tuhan kamu, kemudian bertaubatlah kepada-Nya, semoga Dia menurunkan hujan yang lebat kepadamu dan menambahkan kamu kekuatan di samping kekuatan kamu yang sedia ada; janganlah kamu membelakangkan seruan-Ku dengan terus melakukan dosa!".


Marilah kita mengimbas kembali beberapa perkara penting yang menjadi iktibar kita bersama:-

Pertama : Fenomena jahiliyyah moden adalah kesan daripada kegagalan umat hari ini menghayati dan memahami Islam sebagai cara hidup.

Kedua : Realiti jahiliyyah moden adalah keji dan sesat kerana ia lahir setelah kedatangan Islam yang dibawa oleh Rasulullah S.A.W.

Ketiga : Perlakuan jahiliyyah moden perlu dibendung dan ditangani dengan kembali kepada ajaran Islam secara menyeluruh.

Keempat : Masyarakat Islam dan pihak berwajib tidak seharusnya membiarkan ketidakadilan, penindasan, kekejaman berleluasa dan berlaku di hadapan mata kita tanpa sebarang tindakan.

Kelima : Seluruh Gerakan Islam, NGO, individu dan anggota masyarakat hendaklah berperanan menangani gejala jahiliyyah ini agar tidak berkembang dan menular di kalangan masyarakat.