Saturday, July 25, 2009

Sarawak Tuan Rumah Mesyuarat Raja-Raja (Durbar) Kali Ke-218 Pada 28-30 Julai 2009.

Mesyuarat Raja-Raja Melayu Sebelum Merdeka
Mesyuarat Majlis Raja-Raja Melayu Selepas Merdeka

KUCHING: Sarawak bakal melakar sejarah apabila diberi penghormatan menjadi tuan rumah Mesyuarat Majlis Raja-Raja (MMRR) Ke-218 dengan dihadiri oleh sembilan raja-raja Melayu dan empat Yang di-Pertua Negeri bermula 28 hingga 30 Julai ini.

Menteri Perancangan dan Pengurusan Sumber Kedua Datuk Amar Awang Tengah Ali Hasan berkata, acara bersejarah itu wajar menjadi kebanggaan seluruh rakyat negeri ini kerana MMRR kebiasaannya diadakan di Kuala Lumpur.

“Sarawak diberi penghormatan sebagai tempat berlangsungnya MMRR Ke-218 yang juga untuk kali ketiga diadakan di negeri ini selepas yang pertama (ke-116) pada 1979 dan kedua (ke-157) pada 1992.

“Duli Yang Maha Mulia Sultan Selangor akan mempengerusikan MMRR Ke-218 yang berlangsung di Dewan Undangan Negeri (DUN) Sarawak yang baru ini,” katanya ketika mengadakan sidang akhbar mengenai MMRR Ke-218 di bangunan baru DUN, Petra Jaya di sini, semalam.

Sembilan raja-raja Melayu yang hadir ialah Duli Yang Maha Mulia (DYMM) Sultan Kedah, DYMM Sultan Perak, DYMM Raja Perlis, DYMM Sultan Selangor, DYMM Yang di-Pertuan Besar Negeri Sembilan, Pemangku Raja Kelantan, Tengku Mahkota Johor, Pemangku Raja Terengganu dan Tengku Mahkota Pahang.

Empat Yang di-Pertua Negeri pula masing-masing dari Sarawak, Pulau Pinang, Sabah dan Melaka.

Perasmian bangunan DUN yang baru akan disempurnakan oleh Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong yang kemudian disusuli dengan Regata Sarawak dan perarakan kapal berhias khas untuk meraikan tetamu besar pada 27 Julai 2009.

Pre-Council MMRR Ke-18 berlangsung di Aras 2, Bangunan DUN pada 28 Julai dan diikuti MMRR hari pertama dan kedua pada hari-hari berikutnya di Aras 4.

Ditanya mengenai persediaan kawalan keselamatan, Tengah memberitahu perkara itu telah diberi perhatian serius dengan kerjasama pasukan penguat kuasa untuk memastikan semua program yang dirancang berjalan lancar.

“Kerajaan negeri menjemput rakyat agar hadir bersama-sama memeriahkan acara bersejarah ini termasuk perasmian DUN baru yang merupakan mercu tanda kebanggaan seluruh rakyat Sarawak,” katanya dalam sidang akhbar yang turut dihadiri Speaker DUN Sarawak Dato Sri Mohd Asfia Awang Nassar dan Menteri Muda Perancangan dan Pengurusan Sumber Mohd Naroden Majais.

Sumber:http://www.mysarawak.org

No comments: