Monday, June 20, 2011

Amalan Soleh Sebagai Benteng

Oleh Ustaz Mohammad Fauzi bin Hairani

Muslimin & muslimat, para pembaca yang dikasihi,

Setiap hari media cetak dan elektronik melaporkan kes-kes seperti kematian yang mengerikan, kecurian, ragut, buli, perzinaan, keganasan rumahtangga, penyelewengan kuasa dan pelbagai lagi kejadian yang membimbangkan semakin meningkat.

Peningkatan ini amat menggerunkan dan menakutkan, walaupun kita berada dalam negara yang aman makmur dengan berbagai peraturan dan undang-undang yang diwujudkan, sistem kawalan keselamatan yang canggih dan sistem perhubungan yang terbaik. Namun hati kecil kita ini sentiasa bimbang, curiga dan takut, lebih-lebih lagi paparan kejadian jenayah dan kes yang berlaku sungguh dahsyat, semuanya menambah gerun di dalam jiwa kita semua.

Dalam hal ini sewajarnya kita memerlukan perlindungan dan keselamatan. Siapa sebenarnya pelindung kita?. Siapakah yang mententeramkan hati kita berterusan?. Siapakah gerangan yang dapat menghilangkan perasaan takut dan bimbang yang kita rasai sekarang ini?.

Hanya Allah yang Maha berkuasa dan Maha Pelindung. Allah yang berkuasa menyegerakan atau menangguhkan kematian. Allah yang berkuasa memulia dan mengaibkan seseorang. Hanya Allah yang berkuasa menjayakan dan menggagalkan sesuatu perancangan. Hanya Allah yang boleh menukarkan keadaan menjadi baik dengan janjinya melalui firman-Nya dalam surah An-Nur ayat 55 yang bermaksud: "Dan Dia (Allah) akan menukar keadaan mereka daripada ketakutan menjadi aman dan sentosa".

Para pembaca sekalian,

Bagi mendapatkan perlindungan Allah, maka sudah tentu memerlukan amal soleh yang mesti dilakukan. Apakah yang dimaksudkan dengan amal soleh itu?. Amalan soleh itu antaranya ialah mengerjakan yang fardhu dan diiringi dengan yang sunat seperti solat fardhu yang disusuli dengan solat sunat.

Termasuk amal soleh juga ialah perbuatan menunaikan solat pada waktunya, suka berbuat baik, hatinya penuh yakin dengan keEsaan Allah dan pemikirannya bersih sentiasa mengingati Allah S.W.T. Amal soleh juga diertikan sebagai perbuatan ma'ruf atau perbuatan kebajikan. Hakikat ini dinyatakan berdasarkan sebuah hadith yang masyhur dari Abdullah bin Mas'ud bahawa Rasulullah S.A.W bersabda:"Amal soleh yang utama adalah solat pada waktunya, melakukan kebaikan kepada kedua ibubapa dan berjihad di jalan Allah". (Riwayat Ahmad, Bukhari, Muslim, Abu Daud dan Nasa'ie)

Sabdanya lagi yang bermaksud: "Amalan yang disukai oleh Allah S.W.T ialah amalan yang tetap (kekal dan bersungguh-sungguh melakukannya), sekalipun amalan itu sedikit". (Riwayat Bukhari dan Muslim)

Untuk memastikan amal soleh ini diterima di sisi Allah S.W.T, maka ia memerlukan sikap berterusan dalam menunaikan amalan ini biarpun sedikit yang dikerjakannya. Di samping keutamaannya mestilah ada keikhlasan dalam melaksanakannya, kerana tanpa niat untuk mencari keredhaan Allah atau bukan semata-mata kerana Allah, maka sia-sialah amalan ini, malah ditolak amalan tersebut. Hadith daripada Ad-Dhuha bin Qais bahawa Rasulullah S.A.W bersabda yang bermaksud: "Ikhlaskanlah amalan-amalan kamu kerana Allah, sesungguhnya Allah S.W.T tidak akan menerima amalan melainkan yang ikhlas sahaja". (Riwayat Ad-Daraqthani)

Muslimin & muslimat sekalian,

Adakah terdapat kaitan dan pertalian antara amalan soleh dengan perlindungan untuk kita?. Bagaimanakah yang dimaksudkan dengan perlindungan?. Apakah bentuk-bentuk perlindungan yang diberikan oleh Allah disebabkan amalan soleh yang kita kerjakan?.

Memang terdapat kaitan dan pertalian yang rapat antara amalan soleh kita dengan perlindungan Allah S.W.T. Adanya perlindungan adalah disebabkan amalan soleh kita. Jika amalan yang kita lakukan itu baik, maka kita akan diberikan keyakinan oleh Allah. Keyakinan itu berhubung dengan perlindungan, ketenangan jiwa dan kemurahan rezeki yang diberikan oleh Allah kepada kita. Ini ditegaskan oleh Allah S.W.T melalui firman-Nya dalam surah An-Nahl ayat 97 yang bermaksud: "Sesiapa yang beramal soleh, daripada lelaki atau wanita, sedangkn dia beriman, maka sesungguhnya Kami akan menghidupkannya dengan kehidupan yang baik dan sesungguhnya Kami akan membalas mereka, dengan memberikan pahala yang lebih baik daripada apa yang mereka telah kerjakan".

Hadith daripada Abu Hurairah bahawa Rasulullah S.A.W bersabda yang bermaksud "Mereka yang membaca kitab Allah (Al-Quran) dan mengulangkajinya antara sesama mereka, akan menikmati ketenteraman, diliputi rahmat dan di kelilingi malaikat". (Riwayat Muslim)

Sesungguhnya amalan kebajikan yang kita lakukan pastinya akan diberi perlindungan dan memperolehi manfaat yang bernilai serta tidak disangka-sangka. Perbuatan ma'aruf seperti bersedekah dan menghubung silaturrahim ini akan menjauhkan bencana kejahatan, malapetaka dan kemusnahan dalam hidup. Hadith daripada Ibnu Hakim bahawa Rasulullah S.A.W bersabda yang bermaksud "Perbuatan ma'aruf menangkis dan menghindarkan bencana kejahatan, sesungguhnya sedekah secara rahsia itu akan menghapuskan kemurkaan Allah, menghubungkan silaturrahim, menambah umur dan menolak kemiskinan". (Riwayat At-Tabrani)

Sebaliknya orang yang sentiasa melakukan maksiat dan kejahatan, kehidupan mereka di dunia dalam keadaan resah gelisah, jiwa yang tidak tenteram, walaupun mempunyai berbagai kemudahan dan kemewahan, sebagaimana mutiara kata:"Bahawa maksiat yang lebih berbahaya adalah melupakan Allah dan menggantungkan harapan kepada selain Allah. Akibatnya, tiada perlindungan dan tiada penolong untuk melepaskan kita daripada masalah hidup di dunia dan di akhirat".

Firman Allah dalam surah An-Nisa' ayat 123 yang bermaksud: "Sesiapa yang melakukan kejahatan, dia akan dibalas disebabkan kejahatan itu, dan dia pula tidak akan mendapat seorang pelindung pun selain daripada Allah dan tidak ada juga yang dapat menolongnya".

Para Pendengar yang dikasihi,

Para ulama' besar termasuk Imam Nawawi telah membuat rumusan mengenai perlindungan ini berdasarkan kepada ayat-ayat Al-Quran dan hadith-hadith Nabi S.A.W. Mereka menyatakan bahawa perlindungan yang diberikan oleh Allah S.W.T kepada kita dengan dipanjangkan umur, dijauhkan dari kemiskinan dan kemurkaan Allah, kehidupannya baik dan sentiasa tenang, mewarisi kekuasaan dan pemerintahan, diteguhkan agamanya, sayang-menyayangi antara satu sama lain, di kelilingi para malaikat, dicucuri rahmat dan dijauhkan bencana kejahatan.

Muslimin & muslimat sekalian,

Dari apa yang diperkatakan tadi, jelas menunjukkan betapa pentingnya amal soleh yang ikhlas, iltizam (bersungguh-sungguh) dan istiqamah (berterusan) kepada kita semua. Semoga Allah mengurniakan taufik dan hidayah-Nya kepada kita untuk terus berazam melakukan amal soleh. Amalan soleh menjanjikan perlindungan yang berterusan, menyeluruh dan berkekalan, juga sebagai tanda mendekatkan diri kita kepada-Nya. Semoga dengan itu doa kita akan diterima dan kita sentiasa berada di bawah lindungan Allah S.W.T.

Sebuah hadith qudsi daripada Abu Hurairah R.A bahawa Rasulullah S.A.W bersabda "Sesungguhnya Allah S.W.T telah berfirman: "Dan andai kata ia memohon kepada-Ku, pasti akan Aku perkenankan, andai kata ia memohon perlindungan-Ku, pasti Aku akan melindunginya". (Riwayat Bukhari)

Firman Allah S.W.T dalam surah Yusuf ayat 64 yang bermaksud:"Maka Allah jualah sebaik-baik penjaga dan Dialah jua yang Maha Penyayang dari sesiapa sahaja yang menaruh belas kasihan".

No comments: