Wednesday, September 10, 2008

Rumah Ku, Syurga Ku


SUDAH menjadi satu kewajipan bagi kita untuk melahirkan sebuah keluarga yang harmoni dan aman damai. Untuk mencapainya bukanlah mudah, ia bukan datang dengan sendirinya tetapi perlu diusahakan oleh keluarga itu. Oleh itu, kita sebagai Islam sejati telah menerima satu panduan yang sangat efektif iaitu dengan berpandukan ajaran Islam.
Islam telah menggariskan panduan ilmu keharmonian dalam kekeluargaan yang sangat luas secara terperinci dari alam perkahwinan sehingga hidup berkeluarga. Kita lihat betapa hebatnya undang-undang yang dicipta oleh Allah Subhanahu Wata’ala yang dibawa oleh Rasulullah Sallallahu Alaihi Wasallam demi mencapai keberkatan dan keredaan-Nya sehingga Rasulullah Sallallahu Alaihi Wasallam dijadikan contoh yang agung dalam mendidik ahli keluarga dengan penuh keharmonian.
Dengan mempelajari teknik dan ilmu berpandukan Al-Qur’an dan sunnah, didikan kepada keharmonian keluarga boleh dicapai asalkan ahli keluarga sabar dalam menempuh masa dan halangan yang melanda. Begitu juga ahli keluarga perlu mengenal peranan masing-masing. Semua ini memerlukan kerjasama dan sikap bantu-membantu antara satu dengan yang lain dalam memikul tanggungjawab mereka.
Apabila berkeluarga, ibu bapa mempunyai peranan yang utama lebih-lebih lagi suami atau bapa yang merupakan ketua dalam rumah tangga dan ini memerlukan ilmu antara dunia atau akhirat. Dengan berbekalkan ilmu, ibu bapa adalah merupakan perancang, guru atau mentor ke arah keharmonian keluarga.
Begitu juga dengan sifat-sifat positif seperti kasih sayang yang tinggi, cinta-mencintai, mengambil berat antara satu dengan yang lain merupakan ubat kepada kekalnya hidup berkeluarga. Semua ini perlu didorong oleh iman kerana tanpa iman, mustahil sesebuah keluarga itu kekal harmoni dan mungkin berlakunya dosa atau maksiat. Ini tidak diredai atau diberkati oleh Allah Subhanahu Wata’ala. Jika Allah Subhanahu Wata’ala tidak memberkati bagaimana keluarga menjadi harmoni dan kekal. Dengan itu ibu bapa perlu menguasai ilmu keagamaan dan ilmu kekeluargaan bagi menguatkan keimanan dalam menjamin keharmonian keluarga ini.
Ibu bapa mesti memiliki sifat kesabaran dan prihatin yang tinggi. Apabila bangkit sesuatu masalah, mereka sewajarnya mencuba sedaya upaya menyelesaikannya. Jangan biarkan segalanya menjadi huru-hara disebabkan masalah yang kecil yang diperbesarkan apatah lagi yang besar. Bina motivasi yang tinggi sebagai perangsang kepada keharmonian keluarga dan sentiasa berdoa agar ke arah keharmonian kerana Allah Subhanahu Wata’ala suka kepada mereka yang ingin kepada kebaikan.
Oleh yang demikian, sudah menjadi satu kepastian bahawa Islam merupakan panduan yang terbaik dalam mengekalkan keharmonian keluarga. Semuanya menjamin kebaikan bukan saja di dunia bahkan di akhirat kelak. Oleh itu bersama-samalah kita mengekal keharmonian keluarga dengan berpandukan ajaran Islam yang istimewa ini.

No comments: