Monday, September 22, 2008

Perbanyakkan Amal Ibadat Di 10 Malam Yang Terakhir Bulan Ramadhan

Sedar tidak sedar, kini kita sudah berada dipenghujung bulan Ramadan, ada baiknya jika kita renungkan kembali, apakah kita pasti bahawa ibadah puasa yang telah kita lakukan selama ini telah diterima oleh Allah? Apakah kita masih melakukan perkara-perkara yang mencacatkan pahala puasa? Apakah puasa kita layak diberi ganjaran pahala oleh Allah?  atau kita hanya mendapat lapar dan dahaga tanpa sebarang pahala?. Sesungguhnya hanya diri kita sendiri yang dapat menilai kualiti ibadah puasa yang telah kita lakukan. Ini kerana ibadah puasa adalah rahsia antara seorang hamba dengan tuhannya. 

Sabda Rasulullah s.a.w. :

" مَنْ صَامَ رَمَضَانَ اِيْمَاناً وَاحْتِسَاباً غُفِرَ لَهُ مَا تَقَدَّمَ مِنْ ذَنْبِهِ "

 Maksudnya : " Sesiapa yang berpuasa Ramadan dengan penuh keimanan dan pengharapan  akan diampunkan segala dosanya yang telah lalu " . ( H.R. Bukhari dan Muslim ) 

Setelah hampir sebulan kita berpuasa, apakah kita merasai takwa kita bertambah atau berkurang?. Apakah jiwa kita semakin bersemangat membanyakkan amal ibadah atau jiwa kita semakin lalai dan meringankan ibadah?. Apakah pada sepuluh hari terakhir bulan Ramadan ini, kita semakin banyak membaca al-Quran,  banyak bersedekah,  beriktikaf,  banyak berzikir dan beristiqfar ? ataupun pada sepuluh hari terakhir Ramadan ini,  kita habiskan masa dengan membeli-belah, membuat persiapan hari raya yang berlebihan,  meninggalkan sembahyang terawih,  kurang membaca al-Quran dan berbual-bual kosong sehingga melupakan kelebihan di akhir Ramadhan?. Daripada hadith yang sahih menyatakan bahawa Rasulullah s.a.w di 10 malam yang terakhir Ramadhan iaitu bermula pada malam 21 Ramadhan hingga ke akhirnya, baginda akan melebihkan segala ibadatnya daripada malam-malam yang sebelumnya. Dan baginda juga akan memastikan agar ibadat yang dikerjakan adalah ibadat yang bertepatan dengan ciri-ciri Malam Lailatul Qadar. Wallahu `Alam.

No comments: