Friday, September 12, 2008

Hadith Maudhu Mengenai Kelebihan Solat Sunat Tarawih

Hadis Maudhu` mengenai kelebihan solat sunat tarawih ini dikatakan sebuah hadis yang agak panjang dan kononnya diriwayatkan oleh Khalifah ar-Rasyidin keempat iaitu Ali bin Abi Talib 

Mengikut hadis rekaan itu, dengan mengerjakan solat sunat tarawih pada setiap malam pada bulan Ramadan, umat Islam akan memperoleh pahala yang besar dan pahala itu adalah berlainan mengikut hari. Antara pahala yang agak keterlaluan kononnya akan diperoleh individu yang mengerjakan sekurang-kurangnya dua rakaat solat sunat tarawih mengikut hadis palsu itu adalah:

l Malam Pertama: Keluar dosa orang mukmin pada malam pertama seperti mana dia baru dilahirkan dan mendapat keampunan Allah.
l Malam Keempat: Memperoleh pahala sebagaimana pahala orang yang membaca kitab Taurat, Zabur, Injil dan al-Quran. 
l Malam Keenam: Memperoleh pahala 70 ribu malaikat yang bertawaf di Baitul Makmur.
l Malam Ketujuh: Seolah-olah dapat bertemu dengan Nabi Musa as serta menolong baginda menentang Firaun dan Hamman. 
l Malam Kelapan: Memperoleh pahala seperti Nabi Ibrahim as.
l Malam Kesembilan: Memperoleh tingkatan ibadah seperti Nabi Muhammad saw.
l Malam Ke-17: Memperoleh pahala sebanyak pahala nabi-nabi.
l Malam Ke-26: Allah mengurniakan kepada orang bertarawih pada malam ini pahala 40 tahun ibadah.
l Malam Ke-27: Allah mengurniakan kepada orang bertarawih pada malam ini ketangkasan melintas atas titian Sirotulmustaqin seperti kilat menyambar.
l Malam Ke-29: Allah mengurniakan pahala 1,000 kali haji yang mabrur. 

Hadith Maudhu` sebenarnya tidak boleh digunakan untuk sebarang hujah termasuklah sebagai galakan ibadah kerana ia jelas memaparkan kenyataan yang palsu dan mencemarkan kesucian hadis Rasulullah yang dipelihara dengan dengan begitu baik.

Rasulullah sendiri sudah memberi amaran terhadap orang yang menggunakan nama baginda untuk mengadakan pendustaan sepertimana sabda Baginda: "Siapa sengaja mengadakan dusta atas namaku maka hendaklah dia menyediakan tempatnya dalam neraka."(Sahih Bukhari dan Muslim) Seharusnya kita sedar bahawa jika berdusta dengan menggunakan nama orang biasa sudah dianggap sebagai haram dan fitnah, inikan pula denga menggunakan nama Rasulullah, penghulu bagi umat Islam dan kekasih Allah. 

No comments: