Monday, September 15, 2008

Allah s.w.t Menggandakan Pahala bagi Orang yang Berpuasa

Rasulullah s.a.w. bersabda: “Semua amalan anak Adam digandakan kebaikannya sepuluh kali ganda serupa dengannya hingga tujuh ratus kali ganda, Allah Azza Wajalla Berfirman: “Melainkan puasa, kerana ianya untukKu dan Aku sendiri yang akan membalasnya, mereka meninggalkan syahwat dan makanan keranaKu”. Bagi orang yang berpuasa akan mendapat dua kegembiraan: Kegembiraan ketika berbuka puasa dan kegembiraan ketika menemui Tuhannya, dan bau busuk (dari mulut orang berpuasa) kerana berpuasa lebih wangi disisi Allah daripada bau Misk. (minyak wangi kasturi).
- Di riwayatkan oleh Bukhari dan Muslim
Huraian Hadith
1. Antara keistimewaan puasa ramadhan ialah Allah akan menggandakan pahala bagi orang-orang yang berpuasa melebihi dari amalan-amalan lain sehingga Allah sendiri yang akan menentukan kadar pahala itu di akhirat.
2. Puasa adalah merupakan ibadat yang paling hampir dengan Allah iaitu bagi mereka yang mengikhlaskan diri kepada Allah. Ini kerana puasa merupakan rahsia antara hamba dan Tuhannya.
3. Dua kegembiraan yang dikurniakan oleh Allah kepada hambanya yang berpuasa;
i) Gembira ketika berbuka puasa dengan hidangan yang lazat apatah lagi semasa perut sedang lapar dan dahaga.
ii) Gembira kerana akan dapat menemui dan melihat Allah di dalam syurga kelak. Dan inilah nikmat yang agung yang dikurniakan oleh Allah kepada hamba-hambanya yang beriman.
4. Puasa merupakan perkara ‘dharuriah’ dalam agama di mana sesiapa yang mengingkari wajibnya puasa maka ia menjadi kufur, manakala sesiapa yang meninggalkan puasa tanpa uzur syarie, hendaklah ia dihukum.
5. Puasa memaksa kita meninggalkan nafsu syahwat walaupun pada perkara yang telah dihalalkan untuk melakukannya (sebelum Ramadhan). Dengan itu puasa sebenarnya dikatakan sebagai pendidik untuk kita menjadi lebih tegas, berdisiplin dan sabar dalam berhadapan dengan sebarang godaan sepanjang Ramadhan berlangsung.
6. Bulan Ramadhan dikenali juga sebagai bulan prestasi, di mana Allah memberikan kesempatan kepada orang-orang yang beriman untuk memperbaiki darjatnya di sisi Allah S.W.T bahkan di bulan ini semua aktiviti yang harus di sisi syarak dikira sebagai suatu ibadah kepada Allah S.W.T. iv) Puasa yang dilakukan dengan ikhlas kerana Allah semata-mata akan bernilai sepuluh kebajikan (atau lebih). Oleh itu orang yang puasa di bulan Ramadhan dan diiringi dengan puasa enam hari di bulan Syawal dinilai sama dengan puasa sepanjang tahun. Hal demikian disebutkan dalam hadis Rasulullah s.a.w.
7. Ramadhan adalah bulan ibadah untuk mendekatkan diri kepada Allah seperti yang dilakukan oleh para salafus-soleh. Dengan itu kita hendaklah benar-benar berusaha agar tidak ada waktu berlalu tanpa amal soleh sepanjang Ramadhan ini kerana bulan Ramadhan adalah bulan permohonan, munajat, hidayah dan meraih petunjuk kebenaran daripada Allah S.W.T.

No comments: