Wednesday, July 23, 2008

Warisi Pengorbanan Pahlawan Negara


Hari Pahlawan yang disambut pada 30 Julai setiap tahun, saya ingin mengajak pembaca sekalian kepada pengorbanan dan sumbangan yang telah dilakukan oleh para pejuang terdahulu kepada negara kita. Pengajaran yang mencakupi segenap aspek kehidupan pahlawan negara yang berjuang dan berkorban untuk kesejahteraan ummah dan negara tercinta. Mereka ini sama ada warga Angkatan Tentera Malaysia, Polis Diraja Malaysia dan lain-lain agensi keselamatan telah sama-sama mempertahankan keselamatan dan kedaulatan negara.

Persoalan besar timbul ialah adakah hanya anggota tentera, polis atau agensi keselamatan lain itu sahaja digelar pahlawan? Sesungguhnya maksud pahlawan tidak terhenti setakat memakai pakaian seragam sahaja bahkan yang lebih utama adalah kesedaran dan tanggungjawab setiap individu itu untuk membela agama, bangsa dan negara daripada penjajahan. Penjajahan yang paling menakutkan adalah terpengaruh dengan hasutan syaitan dan nafsu yang jahat. Manakala dalam konteks negara pula terlibat dalam tindakan yang boleh mengancam keselamatan rakyat dan negara itu sendiri seperti sabotaj, khianat, tidak berintegriti, pecah amanah dan sebagainya.

Jangan kita lupa keamanan dan keharmonian yang diraih hari ini tidak datang sekelip mata, tetapi disumbangkan oleh titik peluh dan titisan darah pejuang silam yang meletakkan asas kejayaan negara hari ini. Mampukah kita menikmati suasana hari ini tanpa pengorbanan orang yang terdahulu? Justeru kita sebagai generasi pewaris wajar mengambil iktibar dan teladan di atas semangat juang pejuang-pejuang terdahulu dalam mencapai misi dan visi negara.

No comments: