Saturday, May 30, 2009

Perkahwinan menuntut persediaan: Abdullah


Oleh Aini Selikang

Tiada persediaan minda, kerohanian, fizikal, ekonomi, sosial adalah punca utama konflik rumah tangga

MUKAH: Ketiadaan persediaan lengkap berkaitan alam rumah tangga iaitu dari segi minda, kerohanian, fizikal, ekonomi dan sosial seseorang pasangan atau kedua-duanya adalah punca utama konflik rumah tangga.

Residen Mukah Abdullah Jamil yang menyatakan demikian, berkata ada pasangan tidak mengetahui hak dan tanggungjawab suami isteri, hubu-ngan kelamin, hubungan de-ngan mertua dan hubungan dengan jiran.

“Tiada perancangan serta pengurusan berkaitan perbelanjaan keluarga dan pengurusan masa, menjadikan masalah ini semakin besar,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam Majlis Penutupan Pra Perkahwinan anjuran Jabatan Agama Islam (JAIS) Bahagian Mukah, semalam.

Hadir sama, Pegawai JAIS Mukah Shamsudin Basir.

Justeru, beliau menjelaskan ilmu ‘munakahat’ atau ilmu perkahwinan amat perlu di- fahami kerana ia menjadi asas seseorang itu sebelum me- masuki alam perkahwinan bagi mencapai matlamat perkahwi-nan iaitu kebahagiaan berte-rusan.

“Menerusi ilmu-ilmu ini mereka boleh mengetahui perkara-perkara yang boleh dilakukan dan tidak boleh dilakukan semasa berada dalam alam perkahwinan,” katanya.

Dalam pada itu Abdullah berkata, masalah juga boleh timbul apabila salah seorang pasangan atau kedua-duanya meneruskan kebiasaan yang tidak sesuai dengan alam perkahwinan dengan gemar membiar pasangan sendirian tanpa mengambil kira kesan kepada pasangan atau perkahwinan.

Bagaimanapun ujarnya dalam menjalani kehidupan suami isteri, pasangan juga perlu menyedari bahawa perkahwinan adalah satu perkongsian hidup dua insan berlainan jantina dan latar belakang keluarga.

“Akibat kelainan ini, ia boleh mempengaruhi cara berfikir, sikap, nilai dan cita rasa individu yang menimbulkan isu-isu salah faham, ketegangan dan konflik.

“Oleh itu, pasangan perlu mempunyai kemahiran mengurus konflik dengan cara mengenal pasti keadaan atau punca berlaku konflik serta mengelakkan situasi yang boleh me-nimbulkan salah faham.

“Konflik rumah tangga didefinisikan apabila situasi hubungan, peranan, komunikasi sikap, nilai dan reaksi pasangan suami isteri tidak sejajar dengan gambaran alam perkahwinan yang harmoni dan tenang,” katanya.

Melaluinya juga setiap pasangan suami isteri akan dapat menyalurkan perasaan kasih sayang dan memenuhi keinginan nafsu syahwat mengikut saluran yang sah dan halal di sisi agama.

Selain itu ujar beliau, perkahwinan juga adalah jalan penyelesaian bagi masalah dan jenayah sosial dalam masyarakat seperti khalwat, zina, rogol dan sebagainya.

Sehubungan itu, katanya setiap bakal pengantin perlu memandang serius ilmu berkaitan rumah tangga bagi menjamin kesejahteraan berkekalan.

Katanya, alam perkahwinan bukan semata-mata untuk memenuhi tuntutan hawa nafsu sebaliknya memerlukan tanggungjawab berat bagi memastikan rumah tangga yang dibina kekal hingga akhir hayat.

“Sebelum berkahwin, pastikan kita benar-benar bersedia bukan sahaja dari segi wang ringgit tetapi juga melakukan perubahan. Jika dapat, kita mesti berubah dalam segenap aspek.

“Kita juga perlu ingat bahawa alam perkahwinan jauh ber-beza dengan zaman bujang,” katanya.

Sumber: Utusan Borneo 30 Mei 2009



No comments: