Mesyuarat Majlis Tertinggi UMNO petang Jumaat menetapkan Perhimpunan Agung UMNO dan pemiihan parti itu akan diadakan dari 24 hingga 28 Mac 2009.
Demikian diumumkan oleh Presiden UMNO, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi pada sidang media selepas mempengerusikan mesyuarat berkenaan.
Abdullah juga turut menyentuh mengenai proses pemilihan UMNO yang sedang berlangsung di peringkat Bahagian sekarang.
Katanya, MT memberi amaran kepada calon-calon yang menawarkan diri agar tidak menggunakan jentera kerajaan untuk berkempen.
MT juga katanya, memutuskan agar ibu pejabat UMNO menganjurkan pertemuan semua calon yang akan bertanding pada pemilihan parti itu Mac depan dengan perwakilan di setiap negeri. MT bagaimanapun tambah beliau, tidak membincangkan isu debat antara calon.
Presiden UMNO juga turut ditanya pada sidang media itu mengenai apakah beliau menyokong Ketua Menteri Melaka, Datuk Seri Mohd Ali Rustam bagi jawatan Timbalan Presiden UMNO apabila menyebut nama Ali semasa membuat ulasan mengenai pemilihan UMNO di Sabah baru-baru ini.
Beliau menjelaskan beliau tidak bermaksud agar UMNO Bahagian tidak menyokong Tan Sri Muhyiddin Yassin apabila beliau menyebut nama Ketua Menteri Melaka itu.
Ekoran ulasan Abdullah itu ada yang beranggapan Abdullah menyokong Ali. Muhyiddin yang berada di dalam sidang media berkenaan kelihatan tersenyum mendengar penjelasan tersebut. Ali juga turut hadir pada sidang media berkenaan. - 31/10/2008 Sumber: Agenda Daily
No comments:
Post a Comment