Wednesday, January 28, 2009

Menjauhi Sifat Sombong & Bongkak

Hati adalah penghulu seluruh anggota. Di dalam hati itulah tersimpan semua asas akidah, akhlak, niat baik dan niat yang tidak baik. Selagi hati itu belum dibersihkan (disucikan) dari sifat-sifat buruk dan tercela, serta menghiasinya dengan sifat-sifat yang baik dan terpuji, maka kita tidak akan merasakan kebahagiaan serta nikmat Islam dan Iman di dunia ini lebih-lebih lagi di akhirat kelak.

Allah SWT berfirman dalam Surah Asy-Syams Ayat 7 hingga 10:

” Demi diri manusia dan Yang menyempurnakan kejadiannya (dengan kelengkapan yang sesuai dengan keadaannya);
Serta mengilhamkannya (untuk mengenal) jalan yang membawanya kepada kejahatan, dan yang membawanya kepada bertakwa;

Sesungguhnya berjayalah orang yang menjadikan dirinya yang sedia bersih bertambah-tambah bersih (dengan iman dan amal kebajikan), Dan sesungguhnya hampalah orang yang menjadikan dirinya yang sedia bersih itu susut dan terbenam kebersihannya (dengan sebab kekotoran maksiat yang dikerjakan). ”

Banyak akhlak dan sifat-sifat yang tercela yang seharusnya kita hindarkan dari hati. Di antara penyakit-penyakit hati yang berbahaya ialah sifat sombong, bongkak dan meninggi diri.

Sifat ini adalah sifat yang dimiliki oleh syaitan yang terkutuk. Sebagaimana firman Allah dalam Surah Al-Baqarah Ayat34:

” Dan ( ingatlah ) ketika kami berfirman kepada malaikat : Tunduklah (beri hormat) kepada Nabi Adam. Lalu mereka sekaliannya tunduk memberi hormat melainkan Iblis; dia enggan dan takbur dan menjadilah dia dari golongan yang kafir. ”

Allah membenci hamba-hambaNya yang sombong sebagaimana firmanNya dalam Surah Al-Nahl Ayat 23 :

” Sebenarnya, bahawa Allah mengetahui akan apa yang mereka sembunyikan dan apa yang mereka zahirkan; sesungguhnya Dia tidak suka kepada orang-orang yang sombong takbur. ”

Dalam surat Luqman 18, Allah juga berfirman :

” Dan janganlah engkau memalingkan mukamu ( kerana memandang rendah ) kepada manusia, dan janganlah engkau berjalan di bumi dengan berlagak sombong; sesungguhnya Allah tidak suka kepada tiap-tiap orang yang sombong takbur, lagi membanggakan diri. ”

Rasulullah SAW pun bersabda :
” Tidak akan masuk syurga orang yang di hatinya terdapat sebesar atom dari sifat sombong. ”

Al-Imam Abdullah bin Alwi Al-Haddad mengatakan bahawa sifat sombong itu senantiasa terpendam di dalam hati, tetapi ia memiliki tanda-tanda yang dapat dikenali oleh orang, di antara tanda-tandanya iaitu:-
1.
   Merasa bangga melihat dirinya maju lebih   daripada orang lain.
2.
   Suka menonjolkan diri terhadap orang lain.
3.
   Bila menghadiri sesuatu majlis, minta untuk     dikedepankan.
4.
   Jika berjalan, bersikap angkuh.
5.
   Membantah bila ditegur orang lain, meskipun ia salah.
6.
   Tidak mengindahkan nasihat serta teguran orang lain.
7.
   Suka menindas orang yang miskin dan lemah.
8.
   Selalu menganggap dirinya hebat dan tidak pernah melakukan          kesilapan.
9.
   Suka memuji-muji diri sendiri.

Seandainya kita menjadi orang yang paling bertakwa kepada ALLAH serta memiliki ilmu yang luas dan amat banyak amal ibadahnya, kemudian kita menyombongkan diri terhadap orang lain dan membanggakan diri atas kelebihan-kelebihan yang kita miliki, nescaya ALLAH akan menghapus ketakwaan kita dan membatalkan segala ibadat yang telah kita lakukan sebelum ini.

Apalagi kalau yang sombong itu orang yang jahil ( bodoh ). Lebih-lebih orang yang menyombongkan diri dengan ketakwaan dan kesholehan keluarganya atau datuk serta nenek moyangnya, sedangkan dia sendiri tidak beramal, maka itu adalah kebodohan yang luar biasa. Siapakah kita yang ingin menyombongkan diri di muka bumi ini? Siapakah kita, bila bercakap seolah-olah kita yang paling hebat, kita yang paling pandai dan kita yang paling sempurna? Siapakah kita seolah-olah kita tidak pernah melakukan kesilapan ataupun kekurangan.  Ketahuilah, sesuatu yang kita lakukan di muka bumi ini akan akan dipertangunggjawabkan dan akan diperlihatkan oleh Allah s.w.t di akhirat kelak. Sesungguhnya, balasan nikmat syurga itu adalah benar dan balasan azab neraka adalah benar.

Seluruh kebaikan berada dalam sifat rendah diri, khusyu’, dan tunduk kepada Allah SWT. Bila bergaul dan bercakap tidak menunjukkan kesombongannya dan rasa angkuh kepada sesiapapun walaupun berhadapan dengan orang-orang yang lemah dan kurang berilmu daripadanya. Rasulullah SAW bersabda :
“Barangsiapa yang merendahkan diri, nescaya Allah akan mengangkatnya, dan barangsiapa yang menyombongkan diri, nescaya Allah akan merendahkannya.”

Suka berdiam diri dan bersembunyi, serta tidak suka kepada kemasyhuran / ”populariti”, adalah sifat orang-orang mukmin yang soleh dan yang amat dituntut oleh agama. Biar orang kenal kita kerana kita berbudi dan berbahasa kepada mereka tetapi jangan pula orang mengenali kita disebabkan kita bersifat sombong dan bongkak dan suka bermegah-megah di atas kelebihan yang kita miliki.

No comments: