Sunday, June 22, 2008

Ilmu Pengetahuan Penentu Kemajuan, Kata Ketua Menteri Sarawak

Oleh Aziz Derahman
Menuntut ilmu pengetahuan adalah antara perjuangan atau tugas penting yang menjadi tanggungjawab utama bagi seorang Muslim untuk memastikan bangsa terus membangun, kata Ketua Menteri Pehin Sri Abdul Taib Mahmud.
Beliau berkata, kemajuan umat Islam terletak kepada kekuatan semangat menuntut ilmu yang menjadi asas sebenar sehingga membawa kepada kegemilangan golongan ilmuan Islam pada suatu ketika lalu.
“Kita perlu mengikuti perubahan dan perkembangan ilmu pengetahuan semasa termasuk dari segi penggunaan teknologi canggih yang banyak mempengaruhi cara hidup masyarakat dunia sekarang ini terutama di Barat.
“Masyarakat hari ini tidak lagi didedahkan dengan latihan cara lama tetapi beralih kepada penggunaan pengetahuan berasaskan teknologi yang lebih efisien atau lebih tepat lagi iaitu dunia tanpa sempadan,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada majlis penyampaian hadiah sempena Tilawah Al-Quran Peringkat Negeri Sarawak di Stadium Perpaduan Petra Jaya di sini, malam semalam.
Hadir sama, Yang di-Pertua Negeri Sarawak Tun Datuk Patinggi Abang Muhammad Salahuddin serta isteri, Toh Puan Datuk Patinggi Norkiah dan bekas Ketua Menteri Sarawak Tun Datuk Patinggi Abdul Rahman Yakub.
Pehin Sri Taib memberitahu, masyarakat hari ini tidak mempunyai pilihan untuk mengelak daripada mempelajari ilmu pengetahuan yang bersesuaian dengan peredaran zaman jika tidak mahu ketinggalan di belakang.
“Maka kenalilah bahawa tugas seorang Muslim ialah meneruskan perjuangan nombor satu iaitu menuntut ilmu pengetahuan sehingga ke akhir hayat,” katanya sambil menambah, beliau sendiri pun masih giat belajar kerana baginya proses menuntut ilmu tidak akan terhenti sehingga ke nafas terakhir.
Justeru, beliau menggesa supaya generasi muda merebut peluang yang ditawarkan oleh kerajaan agar menuntut ilmu setinggi mungkin bagi membolehkan mereka terlibat sama dalam pembangunan negara termasuk rancangan Koridor Tenaga Diperbaharui Sarawak (SCORE).
“Dalam rancangan SCORE kita memerlukan ramai tenaga kerja mahir untuk melakukan tugas-tugas dalam bidang saintifik, teknologi dan teknikal dan ini merupakan peluang kepada anak-anak tempatan untuk terlibat sama,” ujarnya.
Taib juga yakin dan percaya bahawa anak tempatan mampu menempuhi cabaran untuk bersaing dengan masya-rakat luar, seperti yang dibuktikan oleh seorang kanak-kanak dari Kota Samarahan berusia 11 tahun yang dikenal pasti mempunyai kebolehan luar biasa dalam bidang matematik.
Dalam pada itu, pemenang Tilawah Al-Quran Peringkat Negeri Sarawak untuk Qari Kategori Dewasa dimenangi oleh Dahri Bigek dari Kota Samarahan, Boestaman Majid (naib johan) dan Awang Ibrahim Awang Sabudin (ketiga).
Johan Qariah Kategori Dewasa ialah Farah Illyani Zakaria dari Kuching, Salina Ali (kedua) dan Farra Liza Mohd Musa (ketiga).
Johan Qari Kategori Remaja pula disandang oleh Mohamad Faizzil Affandi, Hadi Mohd Sharkawi (kedua) dan Ahmad Mukhlis Yahya (ke-tiga).
Manakala Kategori Qariahnya pula ialah Nur Syakura Mohd Musa (johan), Nur Afiqah Mohd Musa (kedua) dan Eza Nurumaiza Japarudin (ketiga).
Sementara itu, Menteri Muda di Pejabat Ketua Menteri merangkap Pengerusi Jawatankuasa Tetap Perayaan Islam Negeri Sarawak Datuk Daud Abdul Rahman dalam ucapan aluannya berkata, ajaran al-Quran bersesuaian dengan fitrah manusia yang bukan hanya mampu membangunkan kekuatan rohani tetapi juga menggerakkan kekuatan fizikal dan mental.
“Kandungan al-Quran mencakupi seluruh aspek kehidupan manusia termasuk rohani, akidah, akhlak, perundangan, ekonomi, politik dan pelbagai panduan lain.
“Ayat al-Quran bukan sekadar bahan untuk disimpan, dikumpul dan disusun tanpa dibaca, ia juga bukan sekadar hiasan dinding dan bukan juga sekadar untuk dijadikan azimat untuk menakutkan syaitan,” tegasnya.

No comments: