Thursday, June 19, 2008

Henti Polemik Hadhari Tumpu Masalah Rakyat

Oleh Utusan-abdullatef

NAMPAKNYA isu Islam Hadhari terus menjadi tumpuan kerajaan-kerajaan negeri yang baru ditubuhkan. Selepas Selangor melarang segala aktiviti bersangkut-paut dengan Islam Hadhari, Timbalan Ketua Menteri Pulau Pinang pula berlagak ‘hero’ dengan menuruti jejak langkah yang sama.
Dalam suasana kegawatan isu peningkatan harga minyak dan kos sara hidup yang cukup membebankan rakyat, seharusnya kerajaan Pakatan Rakyat lebih menumpukan kepada usaha mencari pendekatan berkesan bagi meringankan beban rakyat di negeri-negeri yang diperintahnya.
Polemik
Amat malang jika kepercayaan yang diberikan rakyat untuk merubah nasib mereka dipersia-siakan lantaran kesibukan para pimpinannya mencetuskan polemik yang tidak membawa apa-apa manfaat kepada masyarakat. Mungkin sesetengahnya masih terbawa-bawa dengan watak dan pemikiran pembangkang, walhal mereka sudah bergelar parti pemerintah di beberapa buah negeri.
Lebih menyedihkan jika ada yang mahu berlagak seperti mufti dan ulama dengan sewenang-wenangnya mengeluarkan fatwa hanya kerana berupaya menghafal beberapa potongan ayat al-Quran atau berbicara menggunakan ‘ana-anta’.
Sebenarnya, pendekatan Islam Hadhari sudahpun diputuskan bukan sahaja oleh ulama tempatan malah disepakati oleh para ulama fiqh di peringkat antarabangsa. Majlis Kesatuan Fiqh Antarabangsa yang menghimpunkan ulama-ulama besar tersohor dan diiktiraf mewakili negara-negara Islam OIC, dalam persidangannya yang ke-18 di Putrajaya dari 9-14 Julai 2007 telahpun membahaskan manhaj atau pendekatan AlHadhari yang digunakan kerajaan Malaysia.
Untuk manfaat pembaca dalam ruangan yang terbatas ini, penulis akan merumuskan fatwa atau keputusan Majlis Fatwa tertinggi negara-negara OIC berkenaan Islam Hadhari berasaskan kertas kajian yang dibentangkan oleh wakil kerajaan Malaysia yang bertajuk “Petunjuk Bagi Jalan Kembali Kepada Manhaj Al-Hadhari Dalam Islam”.
Secara umumnya para ulama antarabangsa yang bersidang bersetuju terhadap pendekatan kerajaan Malaysia untuk membangunkan negara berasaskan manhaj ketamadunan atau Hadhari. Sebanyak sembilan ketetapan dicadangkan oleh Majlis Kesatuan Fiqh Antarbangsa dalam resolusi fatwa bilangan 163 (18/1) sebagai suatu usaha pengukuhan kepada konsep ‘Hadhari’ yang diperkenalkan.
Antara lain Majlis bersetuju bahawa manhaj Hadhari mampu memberi peluang kepada orang Islam mengembalikan peranan mereka dan memulihkan kemunduran yang dideritai umat ketika ini. Ini termasuklah saranan agar umat kembali kepada nilai-nilai agama yang sebenar sekaligus membebaskan mereka daripada keterikatan kepada sistem ciptaan manusia.
Apa yang berlaku hari ini, wujudnya penyimpangan kefahaman terhadap agama yang mengakibatkan umat terbelenggu dalam gejala pelampauan, sama ada pelampauan dalam mengejar kebendaan mahupun pelampauan dalam menolak kemajuan yang menyebabkan umat berterusan terbelenggu dalam kemunduran.
Justeru Majlis memutuskan bahawa pendekatan Hadhari wajar digerakkan untuk memahamkan umat mengenai ajaran Islam sebenar sekaligus menghapuskan unsur-unsur negatif yang melanda umat bagi mendepani cabaran-cabaran yang dihadapi mereka.
Antara unsur-unsur negatif yang dikenal-pasti oleh Majlis Fiqh sebagai suatu kewajipan untuk diperangi melalui pendekatan Hadhari termasuklah fahaman taksub mazhab yang menjadi batu penghalang terhadap teori pembaharuan yang tepat; pelampauan dalam pemikiran dan tingkah laku yang mencetuskan pelbagai masalah dalam masyarakat; fahaman komunis dan tiada agama (freethinker atau atheist) yang dibina atas asas pemisahan ikatan agama dari kehidupan; kejahilan berkenaan cabang-cabang ilmu menyebabkan terhalangnya kefahaman mengenai hakikat sebenar sesuatu isu (berkaitan Islam); dan tidak menghargai nilai waktu dan kesannya yang menjadi faktor penyebab kepada kegagalan dan kemunduran umat Islam.
Keputusan
Dalam teks keputusan fatwa Majlis Kesatuan Fiqh Antarabangsa itu juga para ulama turut mewasiatkan agar diperkukuhkan keimanan dan amal soleh sebagai langkah pertama bagi mengembleng usaha tarbiyah untuk melahirkan keperibadian Islam yang mampu mengembalikan peranan ketamadunan Islam disamping berperanan untuk menyumbang kepada ketamadunan manusiawi.
Kerajaan Malaysia juga disarankan agar memastikan pendekatan Hadhari dibina atas asas pembenihan dan penerapan nilai-nilai akhlak Islam dalam masyarakat. Perenggan akhir keputusan Majlis Fiqh turut mengesyorkan agar diadakan persidangan antarabangsa khas bagi menerangkan hakikat ketamadunan dan kemajuan Islam serta kandungan risalah Islam yang kekal.
Di sini jelaslah kepada kita bagaimana pendekatan Islam Hadhari ini turut mendapat pengiktirafan ulama-ulama antarabangsa yang sudahpun mengeluarkan fatwa menyokong manhaj yang digunakan kerajaan Malaysia dalam membangunkan negara. Jadi tidak perlulah dipanjangkan polemik ini yang hanya menambah keserabutan masyarakat.
Kalaupun tidak bersetuju dengan istilah yang digunakan sama ada ‘Hadharah Islamiah’, ‘Al-Hadhari Al-Islami’ mahupun ‘Islam Hadhari’ janganlah dinafikan segala kebaikan isi kandungan dan program yang pada hakikatnya sudahpun mendapat pengiktirafan ulama antarabangsa.
Kita seharusnya malu kepada penganut agama lain yang pastinya mentertawakan kita lantaran sikap suka berbalah dalam isu-isu ranting seperti perdebatan mengenai istilah. Walhal banyak lagi perkara pokok yang harus ditangani umat ketika ini. Jangan sampai rakyat mencemuh pemimpin politik kerana kegagalan mereka menyelesaikan masalah yang lebih mendasar lantaran terlalu sibuk berpolemik dalam perkara yang tidak mendatangkan sebarang manfaat.

No comments: